Monday, September 10, 2012

Kelahiran

Lipatan Sejarah Malaysia 1964

Banyak sejarah sejarah besar yang berlaku di Malaysia pada tahun 1964 dan masih utuh dalam lipatan sejarah tanah air negara. Antara sejarah awal yang berada dalam tahun tersebut diantaranya adalah:
1. 1964 Peringkat Ketiga Felda Sri Jaya pula dibuka dengan kehadiran seramai 137 orang peneroka.
2. 1964 Konfrantasi diantara Malaysia dan Indonesia bermula.
3. 1964 Rusuhan Kaum di Singapura yang mengorbankan beratus ratus nyawa.
4. 1964 Parti Tindakan Rakyat (Petir) atau PAP Singapura telah turut serta dalam pilihan raya Malaysia.
5. Persekutuan yang baru diwujudkan di bawah nama Malaysia pada 16 September 1964 melalui penyatuan Persekutuan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak.
6. 
 Banyak lagi sejarah dalam Malaysia yang berlaku pada tahun tersebut termasuk lah kelahiran ku sebagai anak Malaysia. Aku bangga dan sangat berterima kasih kerana dilahirkan dalam bumi berdaulat ini. 

Tanjung Karang, Selangor 1964

Rumah tengah sawah yang menjadi titik tolak kehidupan ku
Ban 1, Tali Air 9, Pasir Panjang, Selangor.

Di sini kisah hidup ku bermula, Dikelilingi sawah padi yang membentang luas saujana mata memandang. Tanggal 29 June 1964 Isnin, aku dilahirkan dalam serba kekurangan. Walau di tengah sawah tapi kedua ibu bapa ku sememangnya kurang berkemampuan disebabkan tanaman padi yang hanya 1 tahun sekali sahaja. Masa itu Ibu bapa ku masih tinggal bersama Datuk dan Nenek yang sama sama membanting tulang empat kerat mengerjakan sawah yang berkeluasan 4 relong.  Habis musim padi mereka menanam jagung serta keladi bagi menyara keluarga. Hanya ikan sawah menjadi hidangan harian. Keli, Sepat, Haruan serta puyu. Laut tidak jauh dari rumah cuma kelengkapan menangkap ikan sahaja yang kurang. Tidak tahan dengan keadaan itu akhirnya Bapa ku mengambil keputusan nekad untuk berhijrah dan membuka tanah baru bersama dengan beberapa orang kawan di Pahang.

Karak, Pahang 1965

 Hutan yang diterokai untuk ditanam dengan getah


Genap umur ku 3 bulan aku di bawa berhijrah oleh kedua ibu bapa ku ke negeri Pahang iaitu di Daerah Bentung Pahang bersama sama Abang serta Kakak ku. Cuma aku dapat  dengar cerita dari arwah Ibu Bapa ku semasa meneroka tanah di Pahang dengan keadaan yang paling minima sekali. Kemudahan pengangkutan, serta kaedah bagi penebangan dan pembersihan hutan amatlah daif sekali. Hanya kapak, parang, cangkul dan gergaji sahaja yang digunakan.

Ikan Takuk (Selar)Masin


Yang aku tahu cuma menangis ketika lapar dan dahagakan susu. Cuma susu badan yang ada ketika itu. Catuan beras oleh bapa ku bagi menjimatkan simpanan beras yang ada. Bermakna keluarga kami selalu makan bubur serta berlauk kan ikan takuk masin masa itu. Sesekali bapa ku ke sungai yang terletak beberapa km dari rumah untuk memancing dan ketika itu lah kami sekeluarga baru dapat merasa dan berlaukkan ikan segar.

 
                         Arwah Bapa Ku                           Arwah Ibu Ku                           

Semasa penebangan hutan Arwah Bapa ku mengerjakannya secara bergotong royong dengan beberapa orang rakan yang sama sama berhijrah dari Selangor. Kepayahan serta kedaifan di selang dengan ketakutan dapat dirasakan ketika membersihkan ladang yang di terokai tersebut. Penyakit Mula melanda. Malaria disebabkan nyamuk semakin menjadi jadi. Hospital tersangat jauh dari penempatan baru tersebut dan kedai pula sejauh setengah hari perjalanan meredah belantara. Perubatan alternatif  seperti tumbuhan herba menjadi pilihan. Bagi merawat penyakit penyakit yang menular. Sehingga suatu ketika Arwah Bapa ku tercedera di bahagian lutut terkena kapak semasa bekerja di ladang. Hampir 2 bulan terlantar dan tidak dapat meneruskan kerja kerja ladang. Selepas sembuh ayah ku menyambung kerja kerja ladang untuk menanam getah.

Akhirnya Kerja pembersihan hutan yang mengambil masa setahun itu sempurna dan sedia untuk di tanam dengan getah. Bapaku bersyukur kerana semuanya telah selesai cuma menunggu selama 7 tahun lagi untuk mengutip hasil getah tersebut.  Dalam tempoh tersebut iaitu dalam suasana daif bapa ku mencari cari kerja sambilan di kawasan kampung berhampiran seperti mengambil upah menoreh getah serta menebas kebun penduduk kampung bagi menampung kos keperluan harian.

 Anak getah

Aku pula semakin membesar mengikut peredaran semasa bersama sama Abang serta kakak ku. Dan taman permainan ku hanyalah sebuah kebun  getah yang berkeluasan 7 ekar. Tiada rakan sebaya cuma abang serta kakak ku sahaja. Mainan di celah celah batang kayu tumbang serta di dalam semak semak berhampiran menjadi igauan. 


2 comments:

  1. Sarangkerengge,

    Orang tua lu betul2 seorang penoroka melalui sagala kepayahan hidup.

    Naman rasa nye beliau berjaya mengurangkan kepayahan itu apabila anak2 nye memulakan penghidupan itu.

    Amat menarik saya akan terus mengikuti blog yang menarik ini.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih tuan Ol Rascal kerana sudi singgah di laman blog saya.
    memang benar bagai di kata rezeki itu tidak datang bergolek. Kita kena berhijrah untuk mencari pembaharuan diri. Selagi ada usaha, selagi itu lah Allah S.W.T akan hulurkan rezeki pada kita.

    Ikuti kisah seterusnya...

    ReplyDelete