Monday, September 17, 2012

Sekolah Orang Putih


 TAHUN 1971

Pada tahun 1971 satu kejutan budaya pada diri ku kerana aku memasuki sekolah darjah 1. Umur tujuh tahun yang aku rasakan masih lagi sinonim dengan taman permainan sedangkan aku masih lagi buta kayu dan tidak tahu barang secorak huruf sekali pun. Jauh di telinga ku kedengaran Bapa ku menyebut "Esok Pergi Sekolah". Dia tidak memberitahu aku bersekolah di mana dan sebagainya. Rupa rupanya pakaian Sekolah telah disediakan. Kasut sekolah berwarna putih dan diperbuat dari plastik menjadi rakan seiringan di hari pertama sekolah bermula. Beg Sekolah pula seperti beg Mr Bean. Aku terlalu bersemangat untuk ke Sekolah ketika itu. Beberapa kali kunci beg terbuka masa aku berjalan pergi dan balik sekolah. Maka bertaburan lah buku serta peralatan sekolah pada masa itu. Semangat serta bangganya Bapa ku melihat aku akan ke sekolah dengan pakaian seragam Sekolah. Lebih lebih lagi aku di Sekolahkan di Sekolah Orang Putih Bentong.

Kasut Sekolah Plastik

Beg Sekolah Aku 1971
Januari 1971, hari pertama aku pergi ke sekolah pada sesi petang dan di temani oleh bapa ku. Aku langsung tidak menyangka kedudukan Sekolah aku memang jauh dari rumah iaitu di Bentong Pahang. Lebih kurang 1 jam perjalanan menaiki bas dari rumah. SEKOLAH KEBANGSAAN SULAIMAN, BENTONG, PAHANG. berkedudukan di tengah tengah Pekan Bentong. Aku jadi gelabah dan panik serta menjadi cemas seketika kerana tiada seorang pun diantara pelajar di situ yang aku kenali. 

Sejarah Sekolah Kebangsaan Sulaiman

Sekolah Kebangsaan Sulaiman Sekarang
Sekolah ini dinamakan "Anglo Chinese School" yang mempunyai 3 buah bilik darjah dengan jumlah murid kira-kira 60 orang. Guru Besar yang pertama ialah En. Goh Sen Yong. Pada tahun 1923 kerajaan telah mengambil alih pentadbiran dan menukarkan nama sekolah kepada "Govemmend English School Bentong". Sebuah bangunan 4 bilik darjah, pejabat dan dewan telah dibina. Pada 1928 pula En. C.S. Muttutamby menggantikan En. Goh Sen Yong sebagai guru besar. 

1929 Bangunan 3 bilik darjah dibina di belakang pejabat. 

1932 En. Appuderan dilantik sebagai guru besar. Pada tahun 1939 Sekolah ini dirasmikan dengan nama "Sulaiman School Bentong" (sempena nama Tengku Besar Pahang ketika itu.). Bilangan murid ketika itu sehingga perang dunia ke-2 ialah antara 180 hingga 200 orang. Dalam masa pemerintahan Jepun, sekolah ini digunakan untuk mengajar bahasa Jepun dan setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Oktober 1945, kerajaan telah mengambil alih semula sekolah ini dan mendapat 3 buah bilik darjah lagi. Pada tahun 1950, 2 buah bilik darjah lagi ditambah. Pada 1957 bilangan murid telah meningkat kepada 873 orang. Seterusnya pada 1959 Murid sekolah menengah berpindah ke bangunan baru di Ketari. Encik Shanmuganathan mengambil alih jawatan sebagai guru besar menggantikan Encik Tan Tin Su. 
1969 - Tuan Haji Ismail bin Haji Ishak menggantikan En. Shanmuganathan sebagai guru besar. 
1970 - Sulaiman School ditukarkan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Sulaiman. 
1973 - dipecahkan kepada 2 buah sekolah. SRK Sungai Marong berpindah ke bangunan baru di Sungai Marong. 
1981 - Tuan Haji Abdul Aziz menggantikan Tuan Haji Ismail sebagai guru besar sehinggalah pada 13 Mac 1990. 
1986 - Blue Point Sekolah yang pertama bermula.Bilangan murid - 1020 orang.Bilangan staf - 48 orang. 
1987 - Mendapat bangunan baru secara gotong-royong dan bilik darjah bagi menampung kekurangan bilik darjah. 
1990 - Blue Point Sekolah yang pertama tamat.Bilangan murid - 960 orangBilangan staf - 48 orang. 
1991 - bulan Februari, En.Abdul Rahim bin Alang menjawat jawatan sebagai guru besar. 
1992 - Penambahan bilik guru besar. 
1994 - Bilik kemahiran hidup dibina. 1995 Bangunan tiga tingkat dibina bagi menampung bilangan murid yang semakin ramai. 
1997 - Julai, En. Abu Samah bin Ibrahim dilantik sebagai guru besar menggantikan Tuan Haji Abdul Rahim bin Alang.
2001 - Bangunan 4 tingkat dibina lengkap dengan penghawa dingin. 
2002 - Makmal komputer pula dibina. 
2002 - En. Johari bin Budin dilantik guru besar menggantikan En. Abu Samah bin Ibrahim. 
2003 - 1 November, tuan Haji Mansor bin Ridwan menjawat jawatan sebagai Guru Besar menggantikan En. Johari bin Budin yang bertukar ke Pejabat Pelajaran Daerah Bentong, Pahang. 
2009 - En. Azor bin Yusof telah dilantik menjadi guru besar menggantikan Tuan Haji Mansor bin Ridwan yang bertukar ke Sekolah Kebangsaan Karak,

Setelah urusan persekolahan aku diselesaikan oleh bapa ku, aku ditinggalkan sendirian bersama sama kawan baru yang begitu asing bagi ku. Cuma yang aku dengar dari mulut bapa ku sebelum dia meninggalkan aku ialah "Balik Nanti Naik Bas AH CHAT Tempat Memula Kita Turun Dari Bas Tadi". Aku cuma mengangguk sahaja. 

Bas Ah Chat

Setelah tamat sesi sekolah dan tibanya waktu pulang, semua murid murid diminta beratur di luar kelas dan menuju ke pagar depan sekolah mengikut barisan. Aku menurut sahaja kerana khuatir dimarahi oleh guru kelas. Sementara Bas yang akan aku naiki masih menunggu aku di pintu pagar belakang sekolah. Aku mula jadi gelabah setelah melepasi pagar depan sekolah. Tidak tahu ke mana arah yang harus aku pergi dan dalam keadaan gelabah tersebut aku teruskan langkah ku di lorong kaki lima kedai di pekan Bentong dan aku mula menangis. Dalam usia sebegini sememangnya kanak kanak seusia aku terdedah dengan bahaya seperti dicolek atau sebagainya. Tapi aku tidak merasa gentar ketika itu cuma yang aku tahu bagaimana kah caranya untuk pulang kerumah sahaja. Tangisan simpati menjadi pendinding ketika aku melalui kaki lima kedai.  Rupanya jauh juga pusingan diantara pagar depan dengan pagar belakang hampir 1 batu dan kena melalui pekan Bentong.
  
Vespa Kuning
Tiba tiba sebuah motorsikal berjenama Vespa yang berwarna kuning berhenti betul betul di hadapan aku dan Pak Cik tersebut terus bertanya kepada ku. "Nak Pergi Mana Nie?" Sambil teresak esak menangis aku menjawab "nak balik ke Karak". Dia bertanya lagi "Balik naik Apa?"  "Naik Bas Ah Chat". Pakcik tersebut terus menyuruh aku naik motorsikal beliau. Tanpa usul periksa aku terus membonceng motorsikal beliau dan terus di hantarnya aku ke tempat bas Ah Chat yang sedia menunggu. Nasib aku memang baik kerana bas tersebut masih belum bergerak menuju distinasi dan cuma menunggu aku seorang sahaja lagi . Setelah mengucapkan terima kasih kepada Pak Cik tersebut aku meniti tangga bas dan aku terus di marahi oleh pemandu bas tersebut yang berbangsa cina. Dan aku disorak serta diejek oleh kawan kawan aku semasa dalam bas tersebut. Aku menangis dan terus menangis masa itu. Aku sememangnya berterima kasih kepada pakcik tersebut cuma tuhan sahaja yang dapat membalas budi beliau.

Sampai di rumah sememangnya hari telah gelap dan selalunya Abang serta kakak ku kadang kadang Bapa ku sendiri menunggu ku di kepala simpang untuk menjemput ku ke rumah. Dari titik tolak itu lah aku sebenarnya mengerti dan tahu bahawa Bapa aku sangat menyanyangi aku lebih dari adik beradik aku yang lain. Dengan cara menyekolahkan aku di sekolah orang putih, membelikan aku pakaian sekolah yang cantik. serta membawa aku bersiar siar menaiki basikal jika Bapa ku ada kelapangan. 

Aku Semasa Berumur 7 tahun
Begini lah wajah sebenar aku semasa berumur tujuh tahun dan bersekolah darjah satu di Sekolah Sulaiman Bentong. Wajah seorang kanak kanak yang degil disebabkan desakan dan diasak kehidupan semasa kecil ku.

Selepas itu banyak peristiwa peristiwa ngeri dalam tahun tahun pertama persekolahan aku. Bayangkan semasa hayat aku, aku tidak pernah mendengar bahasa inggeris malahan membaca one, two , tree pun aku tak pandai. Makna aku adalah seorang murid yang paling dungu sekali dalam kelas dan sebagai denda, aku setiap hari akan dihukum berdiri atas meja. Sehingga lah suatu hari aku dengan secara tidak langsung aku tahu menghafal one sampai ten. Aku rajin juga mentelaah pelajaran di rumah bersama sama dengan abang serta kakak ku. Tapi setiap kali peperiksaan keputusan aku sentiasa nombor corot di belakang sekali. Apa nak buat.. dah memang begitu nasib aku. 

Bab perbelanjaan aku semasa bersekolah waktu itu aku akan di berikan 10sen setiap hari, Apa yang dapat dengan harga sebegitu. Cuma sebatang ais krim Malaysia sahaja dan sering kali juga duit aku tercicir kerana poket seluar ku koyak. Waktu rehat aku hanya duduk di sebalik tiang kantin sekolah memerhatikan kawan kawan lain berbelanja membeli makanan di waktu rehat. Meleleh air liur aku melihat mereka semua makan. Tak mengapalah mungkin rezeki  aku hanya melihat dapat melihat makanan yang mereka makan. 

Waktu Rehat Aku Jarang Ke kantin
Dalam pada masa yang sama seorang anak perempuan jiran ku  bersekolah di sekolah yang sama tetapi telah naik ke darjah tiga. Dia lah sahaja yang terlalu baik dengan aku dan selalu juga dia membelanja aku. Dia anak seorang guru sekolah di kampung ku dan juga adik kepada seorang tokoh koprat di tempat aku bekerja sekarang ini. Dia amat baik kepada aku dan aku amat menghormati beliau sebagai seorang kakak. Selama di sekolah tersebut beliau lah yang selalu mengikuti perkembangan aku dan selalu memberi nasihat dan tunjuk ajar. 
 
Begitulah seterusnya sehingga aku berumur 8 tahun dan bersekolah dalam darjah dua. Aku masih lagi seperti biasa dan serba sedikit aku mula tahu menulis dan mengeja. Tapi Bahasa Inggeris yang di ajar langsung tidak aku fahami. Memang dungu betul kepala hotak aku nie tentang pelajaran yang di ajar. Aku banyak main dari belajar ketika itu rupanya. Pagi aku bermain sehingga waktu pergi sekolah dan selepas balik sekolah, malam pun aku masih bermain. Tidak kira lah apa juga benda sekali pun akan menjadi permainan aku. Setiap kali peperiksaan dalam darjah dua aku seperti sudah biasa dengan pencapaian aku yang paling terkebelakang sekali. Dan setiap kali keputusan diumumkan bermakna aku akan memakai sarung kulit bercorak batik di belakang badan ku. Rotan lah yang menjadi hadiah peperiksaan aku ketika itu.











4 comments:

  1. dinrias,

    wa tengok muka lu masa umur 7 tahun ...menangis2 mencari jalan ...

    alahaiii...wa jadi sayu la..

    nice blog theme..bro ..comgratulation

    ReplyDelete
  2. itu lah yang terjadi bro.. kecil kecil dengan umur sebegitu bapa ku sangat percaya akan kemampuan aku, dari situ lah keberanian timbul dan cara berfikir pun dah berlainan tak padan dengan umur... memang wa menangis masa tu kerana hilang arah...

    ReplyDelete
  3. Fuyooooo...baru ku tau Abg Din rupa-rupanya seorang penukil karya blog haha. Nice entry, bang. terkesima sekejap nengok gambo tu. Anak sapola naik vespa kuning tu haha.

    ReplyDelete
  4. Baru ktk tau kah?huhuhuuh..... thanks for the visiting... banyak lagi entry bakal menyusul ya kelak pai....

    ReplyDelete