Tuesday, October 23, 2012

Penilaian Darjah 5


Telah sekian lama aku tidak menyambung cerita. Hampir setengah tahun rasanya. Kehidupan harian yang terlalu sibuk tidak mengizinkan aku menulis. Aku cuba juga menulis tapi hampa belaka. Semenjak aku membuat keputusan paling besar dalam hidup ku dari bermula tahun 2013 aku sememangnya berserabut dengan bermacam macam perkara yang tidak diduga kehadiranya.

Kita sambung sedikit lagi bab kehidupan kecil ku di peringkat Sekolah Rendah. Permulaan tahun 1975 iaitu tahun peperiksaan Penilaian Darjah 5. Aku sememangnya tidak peduli akan kehadiran peperiksaan tersebut. Aku anggap seperti peperiksaan biasa sahaja yang tidak menjaminkan apa apa perubahan dalam diriku. Aku masih sibuk bermain dan terus bermain. dan pada hujung minggu sahaja adalah merupakan sesuatu keseronokan yang bakal aku nikmati.

Semetong laluan air melalui bawah Jalanraya


Aku mula berjinak belajar main judi secara kecil kecilan dalam semetong / Kolong air. Asal malam sahaja aku dengan beberapa orang kawan lain seperti Jantan Hitam, Kama, Lachik, Tarok, Popun mulalah masuk ke dalam kolong untuk bermain judi. Taruhan cuma duit syiling tapi jumlah akan meningkat sehingga berpuluh ringgit. Main 'PAY' dengan menggunakan daun terup yang dibeli di kedai 'PANJANG' di pekan Karak. Jika kami bermula pukul 7 malam, ianya akan berlarutan hingga ke pukul 3 pagi. Begitulah seterusnya hingga beberapa lama aku sendiri tidak pasti. Emak dan Abah tidak bertanya atau tidak ambil tahu lagi berkenaan diri aku. Aku Pun sudah lali dengan penampar dan rotan di segenap badan aku ini. Sebenarnya aku ada lubang rahsia dari bawah rumah untuk terus ke bilik aku tanpa diketahui oleh sesiapa. Andai aku balik lewat pun tiada sesiapa tahu aku lolos dari lubang tersebut.

Meletak papan sebagai tempat duduk bagi tujuan berjudi


Pada hari hari biasa selepas waktu sekolah selalunya aku melepak dalam semak semak berhampiran kampung yang mana spot spot tersebut dilengkapi beberapa peralatan seperti atap dan lantai tempat kami berlindung pabila hujan. Dalam masa yang sama aku belajar dari Jantan Hitam mengintai orang mandi. Hehehehehe... best gak........ Orang perempuan kampung mandi di kolam yang tidak ada penghadang, cuma dikelilingi belukar. Maka ramailah Perempuan kampung yang di intai oleh mata yang nakal. Aku tidak boleh mencetuskan provokasi pada tulisan aku ini takut ada yang tersinggung atau yang malu nanti. Maaf kan aku kerana perbuatan aku. Boleh dikatakan selalu juga perbuatan itu aku lakukan bersama beberapa orang kawan lain. Sehingga senja baru aku keluar dari sarang persembunyian aku. Ular, Lipan, Kala Jengking aku tidak takut lagi dan menjadi hiburan kepada ku.

Kini Peperiksaan Penilaian Darjah 5 telah bermula dan aku menjawab kertas peperiksaan dengan tenang disamping menjeling ke arah pintu pagar sekolah. Jantan Hitam masih setia menunggu aku pulang dari sekolah. Setelah tamat peperiksaan selama seminggu aku rasa kebebasan yang teramat sangat. Aku keluar rumah sesuka hati dan balik pun sesuka hati aku. kemana sahaja aku akan pergi bersandarkan sebuah basikal kepunyaan Jantan Hitam.

Akhirnya keputusan Peperiksaan Penilaian Darjah 5 keluar. dan masing masing dengan andaian tersendiri. semasa perhimpunan pagi Isnin di sekolah beberapa orang dipanggil ke hadapan bagi penyampaian keputusan cemerlang yang diperolehi. Aku termasuk dalam senarai yang di panggil. Aku tersengih sengih semasa berada di hadapan perhimpunan. Dengan keputusan 4A 1B aku menjadi perhatian guru guru di sekolah tersebut. Cuma aku tidak pasti kenapa Abah dan Emak aku bersikap dingin dan tidak mengambil hirau dengan keputusan yang aku perolehi. Pelik tapi benar.

Biar lah apa yang berlaku, bukan menjejaskan aktiviti  harian aku pun. Cuma satu yang aku pelik. kenapa adik lelaki dan abang ada seluar panjang utuk jalan jalan sedangkan aku cuma ada seluar pendek lusuh sahaja. Adakah Ayah dan Emak ku mengamalkan double Standard?.... entah lah... sampai kan hari raya pun aku tiada pakaian raya . Aku pernah terikir yang aku ini adalah seorang anak angkat.

Kini bermula cuti akhir tahun. Banyak aktiviti yang bakal aku laksanakan. Emak aku membawa adik beradik yang lain menziarahi adiknya di Kuala Lumpur. Aku ditinggalkan sendirian bersama Abah. Aku tidak tahu kenapa, yang pasti adik lelaki aku cakap aku tiada baju jalan sebab itu aku tidak boleh ikut. Aku tidak peduli, Jantan Hitam kan ada, dia lah yang menjadi penghibur aku dah sahabat semasa kesedihan melanda diri ku.

Aku masih ingat pada suatu ketika Jantan hitam menyuruh aku menulis surat kepada seorang gadis untuk menyatakan isi hatinya terhadap gadis yang di pujanya. Aku pun menulis mengikut apa yang di suruh dan menghantarnya sendiri pada waktu malam. Dan selepas itu surat tersebut mendapat balasan dan menyuruh aku membacanya. Apa yang aku ingat isi kandungan surat tersebut menyatakan gadis tersebut tidak suka dengannya kerana Jantan Hitan seorang yang HITAM dan tidak bersekolah. Juga gadis tersebut memohon agar tidak menganggunya. Dari apa yang aku ketahui, gadis tersebut telah berkahwin dengan seorang India Muslim. Dengan perasaan marah dan bercampur kecewa Jantan Hitam mengatakan aku menipunya tapi aku eja kan satu persatu ayat pada kertas tersebut sehingga habis.

Ada juga kalanya aktiviti aku menjangkau ke Kampung kampung lain berhampiran. Budak budak kampung lain semuanya tidak berani angkat muka dengan Jantan Hitam. Siapa berani marah atau mengejek memang makan penampar Tamil jawabnya. Ada penjual ais krim chalong kena paw, penjual roti pun kena paw. penjual daging babi yang masuk ke kampung cina sebelah pun kena paw juga. agak mewah juga kehidupan aku semasa berkawan dengan Jantan Hitam. Aku tidak susah cuma ikut sahaja dia.Aku langsung tidak gentar berdepas sesiapa dengan adanya dia di sebelah ku. Anjing anjing yang menjaga dusun cina semuanya mati kena racun...

Tuesday, September 25, 2012

Mainan Baru


Berkubang Dalam Kubang Kerbau
Lepas Satu, satu kerja yang aku lakukan tapi semuanya adalah permainan bagi aku masa itu. Tidak kira tempat atau apa juga keadaannya. Lopak air tempat Kerbau berkubang pun jadi, janji aku seronok. tidak peduli ular atau lintah yang ada dalam lumpur tersebut. Di kawasan paya terbiar berhampiran kampung adalah tempat mainan aku beserta beberapa orang kawan termasuk Jantan Hitam. Selain dari permainan itu permainan lain seperti perang menggunakan senapang peluru terung pipit turut menjadi pilihan. Habis papan seta kayu yang disimpan di bawah rumah kena tarah untuk dijadikan senapang. Aku belajar dari Jantan Hitam cara cara mengukir papan atau kayu untuk dijadikan senapang mainan.
Senapang Kayu
Beberapa batang pokok terung pipit  menjadi togel kerana kami berebutkan buahnya untuk dijadikan peluru senapang mainan kami. Ada kalanya kami berkelahi kerana berebutkan buah terung pipit tersebut. Habis segala semak serta belukar kami terokai tanpa rasa takut serta bahaya yang bakal mendatang. 

Bedil Buluh
Puas bermain senapang, aku belajar membuat bedil buluh pula dengan jantan Hitam. Rumpun buluh cina di hujung kampung menjadi saksi permainan aku. dan bekalan buluh cina yang sesuai untuk di jadikan buluh bedil senang diperolehi. Kegiatan kami budak budak lelaki berkisar dalam suasa kampung dan lebih kepada aktiviti lasak. Banyak pokok buluh yang dicantas dan dijadikan bedil berpelurukan buah cenderai. Buah cenderai banyak terdapat di sekitar kampung aku dan sekiranya masak buahnya itu boleh di makan. Bergasak lah kami setiap hari dari balik Sekolah hinggalah ke petang baru kami pulang ke rumah masing.

Costume Batman

Dalam pada masa yang sama terdapat mainan baru dicipta termaksik lah Batman. Bukan sekadar mainan malah ianya betul betul menguji minda dan kekuatan fizikal. Batman adalah satu watak sepanjang zaman yang tidak pernah luput. Buku komik karikator Batman berbahasa inggeris sentiasa ada dalam gengaman. walaupun Jantan Hitam tidak tahu membaca tetapi dia memang ada menyimpan banyak buku buku komik semasa pada masa itu. Suatu hari dia menunjukkan sesuatu kepada aku berkenaan apa yang dia telah buat di rumahnya. Costume Batman yang di buat dari kertas tebal dan kain hitam telah siap dan dia bersedia untuk memakainya dihadapan kami semua. Aku sungguh teruja dan menggangapnya dia lah paling hebat. Selepas mengenkan costume tersebut dia terus melakukan beberapa aksi hebat seperti melompat, bergayut dan sebagainya. dan akhirnya dia memanjat pokok belimbing tua di hadapan rumah dengan ketinggian lebih kurang 15 kaki lalu terjun ke tanah. 
Aksi Aksi Hebat Batman
 Memang hebat dan penuh dengan keterujaan. Mulut kami semua melopong melihatkan aksi hebat dari beliau. Apabila jatuh sahaja ke tanah tiba tiba beliau menjerit kesakitan dan tidak boleh bangun kerana kaki beliau terseliuh dan bengkak. Semasa itu ibu beliau ada di dalam rumah dan berlari keluar bagi melihat keadaan yang terjadi. Kaki Jantan Hitam akhirnya di urut dan pulih kembali selepas beberapa hari. Aku juga inginkan Costume yang sama seperti yang di buat oleh Jantan Hitam sebelum ini. Aku membawa Kertas, Gunting, Kain serta beberapa peralatan lain ke rumahnya. Dan beberapa hari aku melepak dan belajar membuat Costume dengan beliau. Setelah siap, kami berdua berjalan lah dengan bangganya mengelilingi kampung dengan mengenakan costume batman kami. Budak budak kecil yang tidak pernah melihat orang berpakaian seperti itu akan meraung ketakutan tatakala melihat kami berjalan berhampiran mereka.
Buku Komik Batman

Rokok


Aktiviti harian aku tidak terhenti setakat itu sahaja malahan bertambah tidak terkawal lagi apabila aku naik ke Darjah 4. Aku mula belajar merokok. Ini adalah disebakan Aku berkawan dengan Jantan Hitam yang memang seorang perokok waktu itu. Banyak jenis rokok putih yang aku cuba diantaranya ialah MOORE, White Horse, 555, Benson & Hedges, Rough Rider, Craven A, Gold Leave, Torchlight, Signal, Pall Mall, Camel, Double Ace, Capstan, Player's dan berbagai jenis jenama lain lagi. Balik dari sekolah aku pergi bermain dan rokok serta makanan lain di spoonser terus oleh Jantan Hitam. Memang senang dan mudah untuk membeli rokok ketika itu. Pada awal pembabitan aku dengan rokok adalah secara sembunyi sembunyi dan hanya diketahui oleh rakan rakan sebaya dan sepermainan yang lain. Sehinggalah kegiatan aku dapat dihidu oleh guru  Bahasa Inggeris aku iaitu Cikgu Halimi. Aku sememangnya takut dengan Cikgu Halimi, Kalau melakukan kesalahan Beliau akan mencubit dan memulas perut dan ada yang sampai terkencing dalam seluar disebabkan menahan sakit. Memang menyakitkan jika terkena denda tersebut.  Cikgu Halimi memanggil aku dan bertanya tentang kebenaran aku menghisap rokok. Aku jadi serba salah dan terpaksa menjawab apa yang betul. Dia tidak mengambil apa apa tindakan sebaliknya cuma menasihati aku sahaja agar berhenti merokok. Sebelum itu Beliau juga telah tahu aktiviti "PENDAJALAN" aku terhadap beberapa orang kampung sebelum ini, mungkin sekiranya beliau menghukum aku, aku dengan beberapa penyamun kampung akan mengambil tindakan yang sama terhadap beliau. Beliau juga tidak Memanjangkan perkara tersebut kepada Bapa ku. Cuma selepas itu Beliau sangat baik dengan aku. Begitu lah seterusnya setiap hari dan menjadi rutin harian ku selepas sekolah  aku keluar bermain dan akan pulang ke rumah apabila waktu magrib menjelma.
Antara Jenama Rokok Pada Waktu Tersebut
Pada masa yang sama juga aku masih mengabaikan pelajaran ku. Cuma yang aku buat ialah kerja kerja sekolah yang diberikan sahaja. Kekadang siap dan kekadang tidak. Aku malas untuk belajar. Aku lebih minat bermain dan banyak kali aku dimarahi oleh Ibu Bapa ku sehingga lah peperiksaan pertengahan tahun. Aku menduduki peperiksaan pertengahan tahun dengan tenang dan tanpa sebarang masalah. Pada masa peperiksaan berlangsung aku sendiri tidak pasti semua soalan yang diberikan itu aku jawab dengan betul. Aku hentam sahaja mana yang aku rasakan betul. Aku gila hendak bermain dan aku rasakan ingin keluar sekolah dengan cepat setiap hari. Jantan Hitam yang menunggu ku di luar pagar sekolah setiap hari menjadikan aku semakin aggresif. 
Setiap hari Ibu Bapa ku berleter dan rasa jemu menjadi jadi disebabkan leteran tersebut. Aku tidak ambil kesah dan peduli dengan semua itu, Aku memang kuat melawan kedua Ibu Bapa ku, ada sahaja alasan aku agar aku lepas dari mentelaah buku pelajaran. Api pelita yang malap setiap malam menyebabkan aku cepat mengantuk dan tiada TV sebagai tontonan hiburan. Aku cepat lena dibuai mimpi setiap malam setelah kepenatan bermain seharian. Bangun pagi aku ke perigi sambil mencedok air sejuk untuk mandi lantas ke sekolah sambil berjalan kaki selama setengah jam. Begitu lah rutin harian ku setiap hari.

Tonik Chap gajah
Keputusan peperiksaan aku keluar dan guru kelas aku mengumumkan keputusan tersebut dengan senyuman. Ketika itu aku di suruh berdiri dan Guru kelas sambil mengucapkan tahniah kepada aku kerana berjaya menduduki tempat pertama dalam kelas dengan mendahului pelajar pelajar lain. Budak budak lain semuanya bising dan tidak percaya dengan keputusan tersebut termasuklah aku sendiri. Perasaan KANYO aku mulalah menyelubungi muka aku ketika itu. Aku dijadikan contoh pada masa tersebut. Aku jadi buah mulut seluruh kampung. Lebih lebih lagi aku dapat menewaskan kawan aku sendiri seorang pelajar pintar di sekolah iaitu Suhaimi. Aku semacam tidak percaya dengan semua itu. Aku tidak mengulangi pelajaran di rumah seperti Suhaimi, Aku tidak minum tonik Chap Gajah seperti Suhaimi, Aku... Aku.... Aku.... semuanya tidak.... tapi keputusan memang berpihak kepada aku ketika itu. Ibu Bapa aku seperti biasa tanpa reaksi berbeza dan tiada hadiah untuk aku tatakala mendapat berita tentang keputusan aku itu. Aku tidak kesah semua itu kerana aku anggap keputusan tersebut tiada bedza dengan sebelumnya.

Thursday, September 20, 2012

Kawan Kawan Ku



Gambar Hiasan
Peperiksaan Akhir Tahun semasa aku darjah 3 menunjukkan peningkatan pembelajaran aku. Aku tidak tahu kenapa aku mendapat kedudukan nombor 2 dalam kelas aku. Aku tidak mengerti kenapa perkara itu harus terjadi dalam diri aku sedangkan aku langsung tidak mengulangkaji pelajaran di rumah. Aku langsung tidak mengambil berat pasal pelajaran aku. Aku merasa hairan jumlah markah ku tinggi dan berkedudukan nombor 2 dalam kelas adalah sesuatu yang musthahil bagi diri ku. Aku cuma terkebelakang sedikit dari rakan sekampung iaitu Suhaimi Bin Arshad. Seorang pelajar pintar di sekolah ketika itu. Rekod beliau dari darjah 1 sehingga ke darjah 3 tidak pernah mendapat tempat kedua atau terkebelakang, semua keputusan peperiksaan beliau mendapat tempat pertama dalam kelas yang mempunyai murid darjah 3 seramai 26 orang. Tuhan lebih sayangkan beliau dengan kemalangan yang meragut nyawa pada penghujung tahun 1976 semasa bermain basikal di tepi jalanraya bersama sama aku ketika itu.Secara tiba tiba sebuah kereta melanggar beliau yang sedang mengayuh basikal di belakang ku. Peristiwa tragis yang tidak dapat aku lupakan sehingga sekarang. 
Seluruh keluarga ku dan seluruh penduduk kampung menjadi hairan dengan pencapaian mendadak aku. Ramai penduduk kampung terbeliak biji mata kerana tidak percaya dengan semua itu berbanding dengan perangai aku di luar waktu sekolah. Budak kalau dah kena sumpah seranah, maki hamun setiap hari mana boleh pandai atau bijak. Begitu lah keadaan aku ketika itu. Aku lihat bapa aku senyum sendirian apabila melihat buku lapuran aku. Mungkin dalam hatinya berkata tidak sia sia menukarkan aku ke sekolah ini.

Kini tiba lah waktu cuti penggal ke tiga dan waktu yang paling aku nanti nantikan. Setiap hari lepas sarapan pagi aku terus menuju ke rumah Jantan Hitam atau pun kebiasaannya Jantan Hitam sedia menunggu aku di tangga rumah untuk pergi bermain atau merayau ke seluruh pelusuk kampung. Suatu hari Jantan Hitam mengajak ku masuk  ke hutan berhampiran kawasan kebun getah dengan berbekalkan sebilah parang. Dia mengajak aku mencari pelepah bertam untuk dibuat jebak burung. Aku mengikutnya mencari pokok yang dimaksudkan. Selesai mengambil pelepah pokok terbut, kami pulang ke surau berhampiran kampung dan di situ lah bermulanya operasi kami membuat jebak burung. Jantan hitam mengajarku membuat beberapa jenis jebak burung seperti jebak burung serindit, jebak burung merbah juga jebak burung tekukur

Jebak burung Serindit
Kami memerlukan beberapa hari untuk menyiapkan beberapa buah jebak. Kerja kerja mengukur serta memotong pelepah bertam mengambil selalunya masa. Kerja meraut buluh pun akan memakan masa beberapa hari juga sebelum jebak jebak tersebut dapat digunakan sepenuhnya. Selesai sahaja membuat jebak jebak tersebut terus sahaja kami ke belukar berhampiran untuk menahan jebak dan akhirnya banyak burung yang kami dapat. Burung Merbah kebiasaannya kami akan sembelih kemudian dimakan dan Burung Serindit pula kami akan jual dengan harga rm1.00 seekor kepada kawan kawan kami.
Jebak Burung Merbah
Setelah puas bermain sambil belajar dengan burung burung tersebut kami membuat keputusan berani untuk meneroka lebih dalam lagi hutan berhampiran. Berbekalkan parang sebilah seorang kami memasuki hutan berhampiran kebun getah. Banyak benda baru aku pelajari setibanya dalam hutan tersebut. Sesat dalam hutan sentiasa bermain dalam pemikiran ku. Tapi kelebihan jantan membawa ku dalam hutan memang aku sanjungi. Pacat, agas, dan nyamuk masa itu memang banyak. 
Perangkap Kancil
Kini di hadapan ku hutan belantara dan Jantan hitam kali ini mengajar ku membuat perangkap kancil. dari tugasan menebang anak kayu, mencari rotan dan mengenal daun maya bagi mengumpan kancil semuanya diajar. Beberapa buah perangkap kancil kami siapkan pada hari tersebut dan aktiviti pada hari itu kami tamatkan pada pukul 4.00 petang. Kami berjanji untuk tugasan esok hari iaitu memeriksa perangkap yang di pasang. Perangkap perlu di periksa awal kerana takut kancil akan mati kelaparan atau dimakan oleh binatang buas lain seperti harimau serta ular sawa. 
Daun Maya
Sampai waktu yang dijanjikan pada keesokan harinya aku pergi ke hutan dan memeriksa setiap perangkap yang kami buat. hampir kesemua perangkap yang kami buat di masuki kancil. Kami masukkan kancil kancil tersebut kedalam guni dan di bawa pulang. Setelah hasil dibahagikan, aku mendapat 5 ekor kancil. Sampai di rumah aku masukkan kancil kanci tersebut kedalam reban ayam dan aku bagi makan daun maya. Pada sebelah tengahari waktu bapa ku pulang dari menoreh, terdengar bapa ku bising bising dan mencari aku. Dia tidak marah cuma tidak membenarkan lagi aku ke hutan dan memberitahu ku tentang bahaya di hutan tersebut. Esoknya bapa ku menyembelih kancil kancil tersebut dan ibu aku memasaknya dengan membuat kari.

Tukar Sekolah

 1973
Dengan pencapaian yang langsung tidak dapat dibanggakan oleh kedua Ibu bapa ku, aku kemudian di tukarkan sekolah pada tahun kemasukan darjah tiga aku. Sekolah Kebangsaan Jambu Rias. Ini lah sekolah yang langsung mengubah kehidupan kecil ku. Sekolah yang banyak berjasa dan satu satunya sekolah yang paling hampir dengan rumah aku iaitu setengah jam berjalan kaki. Sekolah ini lah yang membibitkan benih benih keterlangsungan kehidupan aku. 

Sekolah Kebangsaan Jambu Rias Sekarang
Selepas di tukarkan ke sekolah ini, aku memperbaiki kedudukan ku dalam kelas darjah tiga yang mempunyai 24 0rang murid yang sebaya aku. Kesemua mereka adalah dari kampung kami dan kampung kampung berdekatan. Kebanyakan mereka pula memang aku kenali sebelum ini. Semuanya satu geng. Pada setengah tahun pertama, keputusan peperiksaan penggal ku agak boleh diharap kerana aku menduduki ranking top ten. Dan nekad ku akan belajar bersungguh sungguh. Seperti ada Wawasan juga dalam diri ku untuk maju dalam pelajaran. Sekarang aku telah pandai menulis, membaca dan mengira pada masa itu. Tidak kira apa juga keadaannya aku lebih gemar membaca.
Lebih kurang begini lah semasa aku darjah 3
Yang lebih aku minat sekali pada waktu itu ialah bermain. Masa ku banyak terluang kerana aku bersekolah hanya sebelah pagi sahaja. Tiada sekolah Ugama atau tiada kegiatan luar kelas pada masa itu. Lepas balik sekolah aku terus menyelinap keluar rumah untuk bermain bersama kawan kawan sekampung. Lebih ramai kawan kawan aku kenali sekarang. Lokasi permainan aku tidak terhad di sekeliling rumah sahaja malah aku bergerak ke kampung kampung bersebelahan untuk bermain. Habis seluruh pelusuk kampung aku jelajahi. Aku sendiri tidak tahu dari mana datangnya nama panggilan aku masa itu ATAN. Seluruh kampung memanggil ku dengan panggilan itu. Mungkin masa itu aku berkawan dengan seorang budak yang bernama JANTAN HITAM.


Jantan Hitam

Nama seorang kawan yang tercicir dalam pelajaran. Dia lebih tua tiga tahun dari aku. Susuk tubuh nya besar dan tinggi. wajah nya juga seperti seorang anak india yang digeruni oleh budak budak lain waktu itu. Tapi sayang dia tidak bersekolah disebabkan kedaifan hidup. Dalam umur umur sebegitu dia rajin mencari duit bagi belanja kehidupan seharian seperti menoreh getah dan sebagainya. Dialah salah seorang rakan sepermainan yang sanggup mempertahankan aku dari dibuli oleh budak budak yang lebih besar dari aku. Dia juga akan menunggu aku di luar pagar sekolah setiap hari dan akan menemani aku sehingga sampai ke rumah. Dalam perjalanan balik biasanya banyak perkara perkra yang di ajukan untuk aktiviti permainan pada sebelah petangnya. Dalam perjalanan balik sekolah pula dia akan bertanya kepada ku siapa yang selalu membuli aku semasa di sekolah. Sekiranya ada, dia akan memukul budak tersebut semasa balik sekolah pada keesokan hari nya. Begitulah rutin harian Jantan Hitam dan aku. Kekadang pula aku akan berkelahi dengan rakan sebaya  sekiranya ada yang tidak kena pada masa itu. Dialah yang menjadi pelindung sekiranya aku hampir hampir kalah ketika bertumbuk dan bergaduh. Ramai budak budak sekolah pada masa itu tidak mahu berkawan dengan aku dan sehinggakan ibu bapa mereka sendiri pun tidak membenarkan anak anak mereka berkawan dengan aku. Pada masa itu sekiranya aku lalu berhampiran rumah orang orang kampung, Ibu bapa akan menyuruh anak anak mereka masuk ke dalam rumah dan sebutan sebutan yang sering kedengaran adalah "masuk....!!!! setan lalu tu...".

Semakin hari semakin menjadi jadi perangai aku dan aku semakin liar. Banyak perkara perkara yang tidak sepatutnya dilakukan aku lakukan. Bapa ku membiarkan sahaja kelincahan aku habis kuat pun dia akan merotan aku apabila malam menjelma. Ibu ku cuma mendiamkan diri ketika aku di rotan. Aku tidak pernah serik dengan semua itu. Sungguh pun aku berkawan dengan budak yang tidak bersekolah banyak ilmu kemahiran hidup yang aku pelajari. Disamping bermain ada banyak berkara yang menyentuh kehidupan aku pelajarinya.

Sungai Semantan yang terletak 3 batu jauhnya dari rumah biasa kami kunjungi dengan berjalan kaki atau kadang kadang dengan sebuah basikal tua kepunyaan bapa Jantan Hitam. Sungai ini juga adalah sebatang sungai yang dalam dan berarus deras. Ketika air surut dan jernih, sungai ini mempunyai tebing tebing yang berpasir dan sangat cantik, di sini lah tempat tempat orang kampung bermandi manda serta mengambil air minuman. 

Rakit Boya untuk kemudahan penduduk menyeberang

Di Sungai tersebut ada terdapat sebuah rakit boya yang di gunakan oleh orang kampung untuk menyeberang dan membawa hasil tanaman. Aku dan jantan Hitam sering ke sana dan ada kalanya beberapa orang kawan akan mengikuti kami sekali. Makanan seperti Kacang goreng, biskut serta air oren akan dibawa sekali oleh Jantan Hitam. Biasanya dialah yang akan membeli makanan tersebut sebagai penyeri aktiviti kami semua. Jantan Hitam akan mengajar aku berenang ketika itu. Berbagai teknik renangan di ajar setiap kali kami ke sungai tersebut. Antara teknik teknik renangan yang biasa diajar ialah renang anjing, renang kupu kupu, renang katak, kuak lentang, teknik sendeng dan bermacam macam lagi. Pernah beberapa kali kami terserempak dengan seorang mandur yang berkawan baik dengan bapa ku, dan berita aku mandi di sungai disampaikan ke pengetahuan Bapa ku, dan apabila sampai sahaja aku di rumah maka dapatlah aku hadiah seutas rotan. Belakang aku sememangnya telah kematu dan telah lali dengan bekas rotan. Tiada pertanyaan atau nasihat dari Bapa ku tau tau terus sahaja rotan hinggap di belakang ku. Aku sememangnya ketagih untuk berpesta di sungai tersebut, dan pernah juga beberapa kali rakit boya tersebut di putuskan talinya oleh kami. Ini lah jahat nama nya. Sengaja suka melihat rakit tersebut hanyut ditelan arus sungai. Setelah  rakit tersebut di putuskan talinya maka lari lah kami semua dengan perasaan gembira tanpa memikirkan akibat dari perbuatan kami. Pernah juga kami hanyutkan perahu orang kampung yang terletak di tepi sungai tanpa sebab. 

Orang kampung sememangnya marahkan kami di sebabkan perkara perkara terkutuk yang kami lakukan. Tapi orang kampung tidak berani bersuara disebabkan takut kalau kalau menjadi mangsa kekejaman kami. Ada seorang tua sebaya dengan Bapa ku yang bernama Kang Sani. Berketurunan jawa, dan dia selalu sahaja mencari pasal dengan geng aku termasuk lah aku sendiri. Pernah beberapa kali dia mengancam untuk memukul aku ketika itu. Perkara tersebut diketahui oleh Jantan Hitam dan pada masa yang sama kami berdua merancang satu perkara yang paling kejam. 

Basikal kena sangkut di atas pokok Pulasan
Pada cuti hujung minggu berikutnya aku dengan Jantan Hitam mengendap Kang Sani ketika menoreh di kebunnya. Ketika kelibat Kang Sani sudah tidak kelihatan sdisebalik batang batang getah, Jantan Hitam telah mengambil Basikal Orang Tua tersebut lalu mengandarnya sambil memanjat sebatang pokok Pulasan yang berhampiran. Basikal Orang Tua tersebut di sangkutnya di atas pokok tersebut dengan ketinggian melebihi 20 kaki. Setelah kerja jahat kami selesai kami terus melarikan diri ke kawasan kampung untuk bermain. Sehingga tengah hari apabila aku berdua ke kedai berhampiran terdengar ramai orang kecoh bercerita tentang basikal kena sangkut atas pokok. Ketika aku sampai di kedai tersebut semua orang memandang ke arah kami berdua. Dan kami buat tidak tahu sahaja serta tidak ambil peduli. Orang kampung terus menuduh nuduh kami berdua. Selepas membeli jajan kami berdua beredar dan sambil berjalan pulang, kami bersembang tengang pengalaman yang kami anggap sangat lucu serta bodoh yang telah kami berdua lakukan. Waktu itu aku boleh bayangkan bagaimana kah rupanya Orang tua tersebut menurunkan basikal nya dari pokok. 

Tidak tahan dengan perbuatan kami berdua terhadapnya, Kang sani terpaksa mengadu nasib yang menimpa kepada Bapa aku dan Ketua Kampung. Kami berdua di panggil mengadap ketua kampung dan di beri amaran keras dan Bapa aku yang menjadi penjamin aku ketika itu mengenakan denda berat terhadap aku. Aku tidak di beri makan dan tidak dibenarkan memasuki rumah. Aku sememangnya tidak heran dengan semua itu, aku keluar rumah dan bertemu dengan Jantan Hitam dan Surau lama berhampiran kampung kami menjadi spot aku selama seminggu. Jantan Hitam akan membelikan makan minum aku selama tinggal di surau tersebut. Aku di jemput pulang semula ke rumah selepas itu oleh ibu ku sendiri, dan dengan muka selambanya aku balik kerumah. 
Aku dan Jantan Hitam semakin berdendam dengan Kang Sani, dan aku merancang lagi untuk mengambil tindakan sewajarnya selepas itu. 
Berak dalam cawan getah
Antara tindakan yang diambil adalah seperti berak dalam cawan getah kepunyaan Orang Tua tersebut. Beberapa biji cawan getah telah kami berakkan dan setelah beberapa hari berita tentang perkara aib tersebut tersebar ke seluruh kampung. Dari marah telah menjadi bahan tawa penduduk kampung pula. Dan pernah sekali gerai tepi jalan tempat Orang Tua tersebut berniaga kami runtuhkan dan dibakar. Selepas itu Orang Tua tersebut tidak lagi menganggu kami dan kami terus dengan aktiviti kami yang lain.





# Ikuti kisah Jantan Hitam Dan Aku pada entri akan datang.





Monday, September 17, 2012

Sekolah Orang Putih


 TAHUN 1971

Pada tahun 1971 satu kejutan budaya pada diri ku kerana aku memasuki sekolah darjah 1. Umur tujuh tahun yang aku rasakan masih lagi sinonim dengan taman permainan sedangkan aku masih lagi buta kayu dan tidak tahu barang secorak huruf sekali pun. Jauh di telinga ku kedengaran Bapa ku menyebut "Esok Pergi Sekolah". Dia tidak memberitahu aku bersekolah di mana dan sebagainya. Rupa rupanya pakaian Sekolah telah disediakan. Kasut sekolah berwarna putih dan diperbuat dari plastik menjadi rakan seiringan di hari pertama sekolah bermula. Beg Sekolah pula seperti beg Mr Bean. Aku terlalu bersemangat untuk ke Sekolah ketika itu. Beberapa kali kunci beg terbuka masa aku berjalan pergi dan balik sekolah. Maka bertaburan lah buku serta peralatan sekolah pada masa itu. Semangat serta bangganya Bapa ku melihat aku akan ke sekolah dengan pakaian seragam Sekolah. Lebih lebih lagi aku di Sekolahkan di Sekolah Orang Putih Bentong.

Kasut Sekolah Plastik

Beg Sekolah Aku 1971
Januari 1971, hari pertama aku pergi ke sekolah pada sesi petang dan di temani oleh bapa ku. Aku langsung tidak menyangka kedudukan Sekolah aku memang jauh dari rumah iaitu di Bentong Pahang. Lebih kurang 1 jam perjalanan menaiki bas dari rumah. SEKOLAH KEBANGSAAN SULAIMAN, BENTONG, PAHANG. berkedudukan di tengah tengah Pekan Bentong. Aku jadi gelabah dan panik serta menjadi cemas seketika kerana tiada seorang pun diantara pelajar di situ yang aku kenali. 

Sejarah Sekolah Kebangsaan Sulaiman

Sekolah Kebangsaan Sulaiman Sekarang
Sekolah ini dinamakan "Anglo Chinese School" yang mempunyai 3 buah bilik darjah dengan jumlah murid kira-kira 60 orang. Guru Besar yang pertama ialah En. Goh Sen Yong. Pada tahun 1923 kerajaan telah mengambil alih pentadbiran dan menukarkan nama sekolah kepada "Govemmend English School Bentong". Sebuah bangunan 4 bilik darjah, pejabat dan dewan telah dibina. Pada 1928 pula En. C.S. Muttutamby menggantikan En. Goh Sen Yong sebagai guru besar. 

1929 Bangunan 3 bilik darjah dibina di belakang pejabat. 

1932 En. Appuderan dilantik sebagai guru besar. Pada tahun 1939 Sekolah ini dirasmikan dengan nama "Sulaiman School Bentong" (sempena nama Tengku Besar Pahang ketika itu.). Bilangan murid ketika itu sehingga perang dunia ke-2 ialah antara 180 hingga 200 orang. Dalam masa pemerintahan Jepun, sekolah ini digunakan untuk mengajar bahasa Jepun dan setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Oktober 1945, kerajaan telah mengambil alih semula sekolah ini dan mendapat 3 buah bilik darjah lagi. Pada tahun 1950, 2 buah bilik darjah lagi ditambah. Pada 1957 bilangan murid telah meningkat kepada 873 orang. Seterusnya pada 1959 Murid sekolah menengah berpindah ke bangunan baru di Ketari. Encik Shanmuganathan mengambil alih jawatan sebagai guru besar menggantikan Encik Tan Tin Su. 
1969 - Tuan Haji Ismail bin Haji Ishak menggantikan En. Shanmuganathan sebagai guru besar. 
1970 - Sulaiman School ditukarkan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Sulaiman. 
1973 - dipecahkan kepada 2 buah sekolah. SRK Sungai Marong berpindah ke bangunan baru di Sungai Marong. 
1981 - Tuan Haji Abdul Aziz menggantikan Tuan Haji Ismail sebagai guru besar sehinggalah pada 13 Mac 1990. 
1986 - Blue Point Sekolah yang pertama bermula.Bilangan murid - 1020 orang.Bilangan staf - 48 orang. 
1987 - Mendapat bangunan baru secara gotong-royong dan bilik darjah bagi menampung kekurangan bilik darjah. 
1990 - Blue Point Sekolah yang pertama tamat.Bilangan murid - 960 orangBilangan staf - 48 orang. 
1991 - bulan Februari, En.Abdul Rahim bin Alang menjawat jawatan sebagai guru besar. 
1992 - Penambahan bilik guru besar. 
1994 - Bilik kemahiran hidup dibina. 1995 Bangunan tiga tingkat dibina bagi menampung bilangan murid yang semakin ramai. 
1997 - Julai, En. Abu Samah bin Ibrahim dilantik sebagai guru besar menggantikan Tuan Haji Abdul Rahim bin Alang.
2001 - Bangunan 4 tingkat dibina lengkap dengan penghawa dingin. 
2002 - Makmal komputer pula dibina. 
2002 - En. Johari bin Budin dilantik guru besar menggantikan En. Abu Samah bin Ibrahim. 
2003 - 1 November, tuan Haji Mansor bin Ridwan menjawat jawatan sebagai Guru Besar menggantikan En. Johari bin Budin yang bertukar ke Pejabat Pelajaran Daerah Bentong, Pahang. 
2009 - En. Azor bin Yusof telah dilantik menjadi guru besar menggantikan Tuan Haji Mansor bin Ridwan yang bertukar ke Sekolah Kebangsaan Karak,

Setelah urusan persekolahan aku diselesaikan oleh bapa ku, aku ditinggalkan sendirian bersama sama kawan baru yang begitu asing bagi ku. Cuma yang aku dengar dari mulut bapa ku sebelum dia meninggalkan aku ialah "Balik Nanti Naik Bas AH CHAT Tempat Memula Kita Turun Dari Bas Tadi". Aku cuma mengangguk sahaja. 

Bas Ah Chat

Setelah tamat sesi sekolah dan tibanya waktu pulang, semua murid murid diminta beratur di luar kelas dan menuju ke pagar depan sekolah mengikut barisan. Aku menurut sahaja kerana khuatir dimarahi oleh guru kelas. Sementara Bas yang akan aku naiki masih menunggu aku di pintu pagar belakang sekolah. Aku mula jadi gelabah setelah melepasi pagar depan sekolah. Tidak tahu ke mana arah yang harus aku pergi dan dalam keadaan gelabah tersebut aku teruskan langkah ku di lorong kaki lima kedai di pekan Bentong dan aku mula menangis. Dalam usia sebegini sememangnya kanak kanak seusia aku terdedah dengan bahaya seperti dicolek atau sebagainya. Tapi aku tidak merasa gentar ketika itu cuma yang aku tahu bagaimana kah caranya untuk pulang kerumah sahaja. Tangisan simpati menjadi pendinding ketika aku melalui kaki lima kedai.  Rupanya jauh juga pusingan diantara pagar depan dengan pagar belakang hampir 1 batu dan kena melalui pekan Bentong.
  
Vespa Kuning
Tiba tiba sebuah motorsikal berjenama Vespa yang berwarna kuning berhenti betul betul di hadapan aku dan Pak Cik tersebut terus bertanya kepada ku. "Nak Pergi Mana Nie?" Sambil teresak esak menangis aku menjawab "nak balik ke Karak". Dia bertanya lagi "Balik naik Apa?"  "Naik Bas Ah Chat". Pakcik tersebut terus menyuruh aku naik motorsikal beliau. Tanpa usul periksa aku terus membonceng motorsikal beliau dan terus di hantarnya aku ke tempat bas Ah Chat yang sedia menunggu. Nasib aku memang baik kerana bas tersebut masih belum bergerak menuju distinasi dan cuma menunggu aku seorang sahaja lagi . Setelah mengucapkan terima kasih kepada Pak Cik tersebut aku meniti tangga bas dan aku terus di marahi oleh pemandu bas tersebut yang berbangsa cina. Dan aku disorak serta diejek oleh kawan kawan aku semasa dalam bas tersebut. Aku menangis dan terus menangis masa itu. Aku sememangnya berterima kasih kepada pakcik tersebut cuma tuhan sahaja yang dapat membalas budi beliau.

Sampai di rumah sememangnya hari telah gelap dan selalunya Abang serta kakak ku kadang kadang Bapa ku sendiri menunggu ku di kepala simpang untuk menjemput ku ke rumah. Dari titik tolak itu lah aku sebenarnya mengerti dan tahu bahawa Bapa aku sangat menyanyangi aku lebih dari adik beradik aku yang lain. Dengan cara menyekolahkan aku di sekolah orang putih, membelikan aku pakaian sekolah yang cantik. serta membawa aku bersiar siar menaiki basikal jika Bapa ku ada kelapangan. 

Aku Semasa Berumur 7 tahun
Begini lah wajah sebenar aku semasa berumur tujuh tahun dan bersekolah darjah satu di Sekolah Sulaiman Bentong. Wajah seorang kanak kanak yang degil disebabkan desakan dan diasak kehidupan semasa kecil ku.

Selepas itu banyak peristiwa peristiwa ngeri dalam tahun tahun pertama persekolahan aku. Bayangkan semasa hayat aku, aku tidak pernah mendengar bahasa inggeris malahan membaca one, two , tree pun aku tak pandai. Makna aku adalah seorang murid yang paling dungu sekali dalam kelas dan sebagai denda, aku setiap hari akan dihukum berdiri atas meja. Sehingga lah suatu hari aku dengan secara tidak langsung aku tahu menghafal one sampai ten. Aku rajin juga mentelaah pelajaran di rumah bersama sama dengan abang serta kakak ku. Tapi setiap kali peperiksaan keputusan aku sentiasa nombor corot di belakang sekali. Apa nak buat.. dah memang begitu nasib aku. 

Bab perbelanjaan aku semasa bersekolah waktu itu aku akan di berikan 10sen setiap hari, Apa yang dapat dengan harga sebegitu. Cuma sebatang ais krim Malaysia sahaja dan sering kali juga duit aku tercicir kerana poket seluar ku koyak. Waktu rehat aku hanya duduk di sebalik tiang kantin sekolah memerhatikan kawan kawan lain berbelanja membeli makanan di waktu rehat. Meleleh air liur aku melihat mereka semua makan. Tak mengapalah mungkin rezeki  aku hanya melihat dapat melihat makanan yang mereka makan. 

Waktu Rehat Aku Jarang Ke kantin
Dalam pada masa yang sama seorang anak perempuan jiran ku  bersekolah di sekolah yang sama tetapi telah naik ke darjah tiga. Dia lah sahaja yang terlalu baik dengan aku dan selalu juga dia membelanja aku. Dia anak seorang guru sekolah di kampung ku dan juga adik kepada seorang tokoh koprat di tempat aku bekerja sekarang ini. Dia amat baik kepada aku dan aku amat menghormati beliau sebagai seorang kakak. Selama di sekolah tersebut beliau lah yang selalu mengikuti perkembangan aku dan selalu memberi nasihat dan tunjuk ajar. 
 
Begitulah seterusnya sehingga aku berumur 8 tahun dan bersekolah dalam darjah dua. Aku masih lagi seperti biasa dan serba sedikit aku mula tahu menulis dan mengeja. Tapi Bahasa Inggeris yang di ajar langsung tidak aku fahami. Memang dungu betul kepala hotak aku nie tentang pelajaran yang di ajar. Aku banyak main dari belajar ketika itu rupanya. Pagi aku bermain sehingga waktu pergi sekolah dan selepas balik sekolah, malam pun aku masih bermain. Tidak kira lah apa juga benda sekali pun akan menjadi permainan aku. Setiap kali peperiksaan dalam darjah dua aku seperti sudah biasa dengan pencapaian aku yang paling terkebelakang sekali. Dan setiap kali keputusan diumumkan bermakna aku akan memakai sarung kulit bercorak batik di belakang badan ku. Rotan lah yang menjadi hadiah peperiksaan aku ketika itu.











Pindah

Pada tahun 1969 dengan berbekalkan sedikit wang yang dikumpul hasil dari keringat bapa ku sendiri hasil dari kerja kerja yang dilalukan, Bapa ku berjaya membeli sebidang tanah berhampiran Kampung dengan harga RM200.00 berkeluasan 3/4 ekar sebagai tapak rumah keluarga kami. Tanah dalam kawasan kampung memang perlu kerana kemudahan senang didapati seperti Rumah Bidan, Kedai Runcit dan yang paling penting sekali ialah Sekolah Rendah. memang hampir dari rumah kami iaitu kira kira setengah jam berjalan kaki. Rumah kami juga berhampiran jalan utama yang menghubungkan Bentong dengan Temerloh. Kemudahan Pengagkutan awam seperti Bas menjadi pilihan.

Bas Lama 1960an
Sedikit imbasan tahap pengangkutan pada masa itu di mana Bapa ku termasuk lah aku sendiri pernah di bawa berulang alik dari Sekinchan, Selangor ke Karak, Pahang. Dari Sekinchan dengan menaiki bas usang yang bergerak ke Tanjung Karang, Selangor hanya 3 kali sehari. Untuk ke Kuala Selangor pula Bapa ku akan melintas sungai tersebut dengan menaiki feri kecil bagi ke seberang dan naiki Bas lagi untuk ke Pasir Penambang, Kuala Selangor.
Rupa Feri Kuala Selangor yang di tarik oleh boat
Selepas Menaiki feri tersebut dari Kuala Selangor Bapa ku akan mengambil bas ke Batang Berjuntai dan seterusnya bas akan singgah di Rawang sebelum menuju ke Kuala Lumpur iaitu hentian Malacca Street. Sampai di Kuala Lumpur kebiasaannya hari akan malam dan bermalam lah bapa ku di Hentian itu sebelum memulakan perjalan menaiki Bas lagi sehingga ke Bentong.

Hentian Malacca Street dahulu
Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bentung mengambil masa kira kira 4 jam disebabkan faktor muka bumi dan jalan yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Bentung pada masa itu amat lah teruk sekali. Sepanjang perjalanan yang penuh liku dan gaung gaung dalam itu terpaksa ditempuhi selama 4 jam dan bas akan berhenti rehat di kawasan Genting Sempah dan pada waktu itu para penumpang akan turun makan atau membeli buah tangan seperti Buah Limau, Sayuran atau Kacang Rebus.

Jalam Lama Kuala Lumpur - Bentong
Selepas Berehat dan makan perjalanan di teruskan ke Bentong dengan melalui jalan yang berliku lagi. Ramai yang mabuk dan muntah semasa dalam perjalanan tersebut. Dalam keadaan itu lah aku berpengalaman beberapa kali mengikut Bapa ku berulang alik dari Sekinchan ke Karak, Pahang. Memang teruk perjalanan masa itu. dan aku sendiri hampir hampir tewas dengan dugaan tersebut. Itu baru dugaan perjalanan dan belum lagi dugaan kehidupan yang mencabar. 

Rumah Papan Atap Rumbia
Kini Bapa ku bersedia dengan binaan rumah baru iaitu rumah papan yang dipotong sendiri olehnya dan dibantu oleh rakan rakan beliau. Beratapkan daun rumbia atau sagu yang mudah didapati bagi tempat tinggal kami sekeluarga. Alangkah seronoknya kami sekeluarga pada masa itu. Aku pula lebih seronok bermain dengan anak anak jiran yang ramai pada masa itu. Masa tu aku cuma ada seluar pendek lusuh dan tidak berbaju setiap hari mengiringi diri ku. Nyamuk, Agas menjadi teman setia sepermainan. Semua itu telah lali dan sebati dalam diri ku. Abang dan Kakak Ku bersekolah di sekolah kebangsaan dengan berbekalkan telur itik seorang sebiji dan telur itik tersebut akan ditukarkan dengan duit berjumlah 20sen sebiji di kedai berhampiran sekolah. Itu lah belanja harian kedua mereka. Pakaian sekolah mereka berdua hanyalah ala kadar sahaja serta berselipar Jepun. Beg sekolah Abang dan kakak ku dibuat dari rotan yang di anyam.

Bakul Rotan Yang Dijadikan Beg Sekolah




Thursday, September 13, 2012

Kehidupan Kecil Ku

Bermulalah sebuah kehidupan kecil ku yang serba kekurangan dan sejarah kecil ku yang masih segar berlegar di benak fikiran ku. Dalam lingkungan umur 5 tahun aku masih tidak mengerti tentang kepayahan. Mainan ku cuma didorong oleh Abang serta kakak ku. Apa sahaja yang ada semuanya menjadi permainan ku. Dari pot susu cap Junjung sehinggalah Memancing Ulat Puchong memang mainan. Permainan seperti Batu Seremban, Kundang Kundi, Kejar ayam, Polis entry, Memanjat pokok, Berkubang Dalam Paya, memancing Ikan Limbat  dan bermacam macam lagi yang aku sendiri sudah lupa akan kewujudan permainan waktu kecil tersebut.

Mainan kanak kanak dahulu
Alatan Elektrik seperti Television memang tidak terlintas akan kewijudan nya. Cuma radio sahaja menjadi pemangkin berita masa itu. Dapur memasak masih menggunakan kayu api dan peralatan memasak semuaya berwarna hitam oleh asap kayu yang dibakar. Untuk menerangkan kegelapan malam pula, rumah kami ada beberapa biji pelita minyak gas ( Minyak Tanah ). Cuma itu seadanya. ketika musim hujan diantara bulan December hingga ke Januari pernah juga kami sekeluarga makan ubi kayu yang direbus. Pada masa itu lah wajah bapa kami berkerut dan mula risau kerana punca pendapatan terjejas dan sekali gus bekalan makanan menjadi semakin berkurangan. 

Pada masa yang sama anak getah bapa ku banyak yang musnah disebabkan oleh gajah liar dan ini menambahkan lagi masalah beliau. Bukan sekadar anak getah, Pisang, Ubi, serta beberapa jenis tanaman kontan lain semuanya musnah. Sekumpulan gajah liar mengancam tanaman dan penduduk kampung kami. Apalah yang dapat dilakukan selain berserah kepada Allah. Sewaktu Gajah datang kami sekeluarga memadamkan semua lampu dan tinggallah kami dalam kegelapan dan menyuruk di ruang ruang rumah yang selamat.
Gajah yang merosakakn tanaman getah

Pada waktu yang sama kawasan kami masih lagi berada dalam kawasan hitam iaitu kawasan Perintah berkurung ( curfews ). Kominis masih lagi mendominasi kawasan ini. Siapa yang tidak kenal dengan KARAK, Memang tempat kominis bersarang ketika itu. Jadi tidak hairanlah segala aktiviti keluar masuk kampung kami amat terhad iaitu dari pukul 6.00pg hinggalah ke pukul 6.00pm sahaja. Zaman kominis yang menyaksikan kekejaman berada di hujung senjata. Apa lagi yang boleh dilakukan melainkan berserah dan terus berserah kepada yang esa. Tapi masa itu aku masih lagi tidak mengerti apa apa. Ibu bapa ku suruh menyuruk, aku pun menyuruk. Di suruh diam aku pun diam. Beberapa kali aku sendiri terdengar bunyi berbalas balas tembakan berhampiran kampung aku. Apakan daya ianya tidak memberi ku sedikit kegentaran di jiwa kerana aku masih mentah dan tidak mengerti apa apa.

Zaman Kominis


Dalam pada masa yang sama seorang lagi adik lelaki ku lahir ke dunia, bermakna aku akan kejauhan kasih sayang, maklumlah ada insan baru dalam kehidupan keluarga ku. Adik lelaki masih merah dan dia lah segalanya pada masa itu. Aku masih lagi bermain bersama mainan yang entah apa apa, janji aku leka bermain seharian. Waktu itu tiada sekolah TADIKA atau PRA-SEKOLAH seperti sekarang yang mana semua kanak kanak yang berumur 5 tahun keatas diwajibkan untuk bersekolah. Bermakna aku langsung tidak tahu membaca dan menulis walau ABC dan 123 sekali pun. Justeru itu bila terjumpa benda benda pelik seperti pansil atau pen aku menjadi ghairah untuk cuba menulis di tanah mahu pun di dinding rumah. Paannggggggggggggg.............. kepala ku di tampar oleh bapa ku.. Linangan air mata menjadi tradisi tekad untuk aku belajar menulis dengan abang ku. 

Pada masa yang sama sekitar 13 Mei 1969 terjadinya rusuhan kaum. Pada masa itu aku tidak lagi mengerti apa apa cuma yang kedengaran dari mulut bapa aku menyuruh agar kami sekeluarga jangan keluar rumah. Kawasan kampung kami tidak tidak terlibat dengan masalah itu kerana kami di Pahang. Cuma Bapa ku sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku.
Peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969

Monday, September 10, 2012

Kelahiran

Lipatan Sejarah Malaysia 1964

Banyak sejarah sejarah besar yang berlaku di Malaysia pada tahun 1964 dan masih utuh dalam lipatan sejarah tanah air negara. Antara sejarah awal yang berada dalam tahun tersebut diantaranya adalah:
1. 1964 Peringkat Ketiga Felda Sri Jaya pula dibuka dengan kehadiran seramai 137 orang peneroka.
2. 1964 Konfrantasi diantara Malaysia dan Indonesia bermula.
3. 1964 Rusuhan Kaum di Singapura yang mengorbankan beratus ratus nyawa.
4. 1964 Parti Tindakan Rakyat (Petir) atau PAP Singapura telah turut serta dalam pilihan raya Malaysia.
5. Persekutuan yang baru diwujudkan di bawah nama Malaysia pada 16 September 1964 melalui penyatuan Persekutuan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak.
6. 
 Banyak lagi sejarah dalam Malaysia yang berlaku pada tahun tersebut termasuk lah kelahiran ku sebagai anak Malaysia. Aku bangga dan sangat berterima kasih kerana dilahirkan dalam bumi berdaulat ini. 

Tanjung Karang, Selangor 1964

Rumah tengah sawah yang menjadi titik tolak kehidupan ku
Ban 1, Tali Air 9, Pasir Panjang, Selangor.

Di sini kisah hidup ku bermula, Dikelilingi sawah padi yang membentang luas saujana mata memandang. Tanggal 29 June 1964 Isnin, aku dilahirkan dalam serba kekurangan. Walau di tengah sawah tapi kedua ibu bapa ku sememangnya kurang berkemampuan disebabkan tanaman padi yang hanya 1 tahun sekali sahaja. Masa itu Ibu bapa ku masih tinggal bersama Datuk dan Nenek yang sama sama membanting tulang empat kerat mengerjakan sawah yang berkeluasan 4 relong.  Habis musim padi mereka menanam jagung serta keladi bagi menyara keluarga. Hanya ikan sawah menjadi hidangan harian. Keli, Sepat, Haruan serta puyu. Laut tidak jauh dari rumah cuma kelengkapan menangkap ikan sahaja yang kurang. Tidak tahan dengan keadaan itu akhirnya Bapa ku mengambil keputusan nekad untuk berhijrah dan membuka tanah baru bersama dengan beberapa orang kawan di Pahang.

Karak, Pahang 1965

 Hutan yang diterokai untuk ditanam dengan getah


Genap umur ku 3 bulan aku di bawa berhijrah oleh kedua ibu bapa ku ke negeri Pahang iaitu di Daerah Bentung Pahang bersama sama Abang serta Kakak ku. Cuma aku dapat  dengar cerita dari arwah Ibu Bapa ku semasa meneroka tanah di Pahang dengan keadaan yang paling minima sekali. Kemudahan pengangkutan, serta kaedah bagi penebangan dan pembersihan hutan amatlah daif sekali. Hanya kapak, parang, cangkul dan gergaji sahaja yang digunakan.

Ikan Takuk (Selar)Masin


Yang aku tahu cuma menangis ketika lapar dan dahagakan susu. Cuma susu badan yang ada ketika itu. Catuan beras oleh bapa ku bagi menjimatkan simpanan beras yang ada. Bermakna keluarga kami selalu makan bubur serta berlauk kan ikan takuk masin masa itu. Sesekali bapa ku ke sungai yang terletak beberapa km dari rumah untuk memancing dan ketika itu lah kami sekeluarga baru dapat merasa dan berlaukkan ikan segar.

 
                         Arwah Bapa Ku                           Arwah Ibu Ku                           

Semasa penebangan hutan Arwah Bapa ku mengerjakannya secara bergotong royong dengan beberapa orang rakan yang sama sama berhijrah dari Selangor. Kepayahan serta kedaifan di selang dengan ketakutan dapat dirasakan ketika membersihkan ladang yang di terokai tersebut. Penyakit Mula melanda. Malaria disebabkan nyamuk semakin menjadi jadi. Hospital tersangat jauh dari penempatan baru tersebut dan kedai pula sejauh setengah hari perjalanan meredah belantara. Perubatan alternatif  seperti tumbuhan herba menjadi pilihan. Bagi merawat penyakit penyakit yang menular. Sehingga suatu ketika Arwah Bapa ku tercedera di bahagian lutut terkena kapak semasa bekerja di ladang. Hampir 2 bulan terlantar dan tidak dapat meneruskan kerja kerja ladang. Selepas sembuh ayah ku menyambung kerja kerja ladang untuk menanam getah.

Akhirnya Kerja pembersihan hutan yang mengambil masa setahun itu sempurna dan sedia untuk di tanam dengan getah. Bapaku bersyukur kerana semuanya telah selesai cuma menunggu selama 7 tahun lagi untuk mengutip hasil getah tersebut.  Dalam tempoh tersebut iaitu dalam suasana daif bapa ku mencari cari kerja sambilan di kawasan kampung berhampiran seperti mengambil upah menoreh getah serta menebas kebun penduduk kampung bagi menampung kos keperluan harian.

 Anak getah

Aku pula semakin membesar mengikut peredaran semasa bersama sama Abang serta kakak ku. Dan taman permainan ku hanyalah sebuah kebun  getah yang berkeluasan 7 ekar. Tiada rakan sebaya cuma abang serta kakak ku sahaja. Mainan di celah celah batang kayu tumbang serta di dalam semak semak berhampiran menjadi igauan.